Samsung jana 30% kenaikan

Samsung jana 30% kenaikan

SEOUL, 29 Okt (AFP) – Samsung Electronic dari Korea Selatan hari ini pulih daripada kemerosotan pendapatan, melaporkan pertambahan hampir 30 peratus dalam keuntungan suku ketiga dan mengumumkan pembelian balik saham sebanyak AS$10 bilion.

Kadar tukaran positif dan tumpuan baru pada komponen merupakan sebab di sebalik pertambahan keuntungan, tatkala Samsung berusaha menghapus kerugian saham pasaran telefon pintar kepada Apple Inc dalam segmen premium, dan kepada pesaing China.

Keuntungan bersih dalam tempoh Julai-September mencecah 5.46 trilion won – satu pertambahan sebanyak 29.3 peratus berbanding tahun sebelumnya dan mengurangkan kemerosotan tujuh suku berturut-turut.

Syarikat menganggarkan pemerolehan keseluruhan daripada kelemahan won berbanding dolar pada 800 bilion won untuk suku itu, diperoleh kebanyakannya daripada perniagaan komponen yang membabitkan cip, paparan dan skrin.

Bagaimanapun, ia mengingatkan pendapatan mungkin merosot pada suku keempat apabila faedah kadar tukaran adalah kurang ketara.

Syarikat elektronik itu juga mengumumkan ia akan membeli balik dan membatalkan saham berjumlah 11.3 trilion won, sementara juga menambah perbelanjaan modal.

“Samsung percaya harga saham sekarang dan nilai pasaran Samsung Electronics dinilai amat kurang dari segi keupayaan bagi menghasilkan pendapatan dan juga dari segi aset tersembunyi atau nilai ekuiti syarikat,” katanya.

Pengumuman itu melihat saham Samsung Electronics meningkat setinggi 4.9 peratus dalam perniagaan pada awal pagi, sebelum kembali naik sebanyak 1.3 peratus.

ARTIKEL YANG SAMA