Samsung lancar program mySamsung

Samsung lancar program mySamsung

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Samsung Electronics Co Ltd melancarkan program pemilikan serantau mySamsung untuk para pelanggan baharu dan sedia ada yang boleh diperoleh menerusi aplikasi mudah alih.

Aplikasi berkenaan juga dapat membantu mereka menguruskan gajet masing-masing selain memberi akses lebih mudah kepada wakil perkhidmatan pelanggan syarikat berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Samsung berkata ia juga dapat memastikan para pelanggan memaksimumkan manfaat gajet masing-masing.

Pelancaran aplikasi itu juga dibuat bersempena Forum Asia Tenggara Samsung 2016, di sini. Pada forum berkenaan, syarikat itu turut memperkenalkan model terbaharu beberapa produknya seperti televisyen skrin melengkung SUHD dengan paparan titik Quantum, mesin basuh reka bentuk pintar AddWash Washing, peti sejuk Family Hub dan tablet Windows berskrin besar, Galaxy TabPro S.

Samsung turut mengumumkan perkhidmatan Samsung Pay akan diperkenalkan di Asia Tenggara dan wilayah Oceania tahun ini, bermula di Singapura dan Australia.

Selain memperkenalkan produk-produk terbaharunya, Samsung turut berkongsi usaha berterusannya untuk mengukuhkan jenama berkenaan di rantau ini menerusi penglibatan lebih akrab dengan para pelanggan bagi memberikan perkhidmatan terbaik serta menyumbang kepada masyarakat setempat.

Tahun lepas, Samsung Electronics dinobatkan sebagai jenama terbaik di Asia iaitu kejayaannya untuk tahun keempat berturut-turut oleh ‘Asia’s Top 1,000 Brands’ menerusi kaji selidik tahunan dalam talian dijalankan Campaign Asia-Pacific dengan kerjasama Nielsen. – Bernama