Samsung perkenal teknologi Quantum Dot

Samsung perkenal teknologi Quantum Dot

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) – Samsung telah memperkenalkan barisan televisyen SUHD 2016 yang serba canggih yang menampilkan teknologi Quantum Dot bagi memaparkan kualiti gambar terbaik serta kecekapan penjimatan tenaga yang lebih optimum.

Quantum Dot merupakan kristal bersaiz nano yang diperbuat daripada bahan-bahan semikonduktor, sebagai perbandingan, ukuran nanometer (nm) merujuk kepada satu bilion daripada satu meter, kata Samsung dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, partikel-partikel yang sangat kecil ini mempunyai ukuran yang sangat halus atau 1/10,000 dari sehelai rambut manusia.

Ia memiliki ciri-ciri fizikal yang menjadikan mereka sesuai untuk banyak penggunaan dan sangat cekap dalam menyerap serta memancarkan cahaya.

Warna dan cahaya yang diledakkan oleh setiap bintik kuantum didapati amat stabil dan tulen, paparan warna-warna adalah lebih tepat berbanding cahaya daripada teknologi konvensional yang lebih mudah tercemar dengan warna-warna berdekatan.

Hasilnya, tiga warna primer akan lebih mudah dibezakan berbanding dengan televisyen konvensional, ini menjadikan paparan atau skrin yang menggunakan teknologi Quantum Dot mengeluarkan warna yang lebih banyak secara tepat.

Samsung merupakan satu-satunya syarikat yang menghasilkan skrin Quantum Dot yang bebas kadmium, syarikat itu mula memberi fokus ke atas teknologi tersebut dalam 2001 dan sehingga sekarang telah mematenkan sebanyak 150 penemuan.

Teknologi bintik kuantum ini juga bersifat lebih tahan lama dan sebagai satu sebatian bukan organik, ia memiliki ketahanan terhadap pengoksidaan berbanding bahan-bahan organik biasa.

Samsung juga menyapu sejenis lapisan kuad ke atas paparan bintik kuantum bagi memastikan produk tersebut tahan lama dan sentiasa stabil selama bertahun-tahun.

Hasilnya, paparan hebat yang mengekalkan kualiti gambar selama bertahun-tahun.

Untuk maklumat lanjut tentang TV SUHD Samsung yang memakai teknologi Quantum Dot, sila layari www.samsung.com/global/tv/quantum-dot-display.