Samsung saman Huawei, cabul paten

Samsung saman Huawei, cabul paten

SEOUL, Korea Selatan, 22 Julai – Syarikat Samsung Electronics menyaman pembuat telefon pintar Huawei, China kerana dipercayai mencabul enam daripada patennya dalam langkah terbaru dalam siri pertikaian paten antara syarikat-syarikat gergasi telefon pintar Asia.

Syarikat Korea Selatan berkata hari ini bahawa ia mengambil tindakan undang-undang untuk mempertahankan harta intelektualnya, meskipun berusaha untuk menyelesaikan pertikaian itu secara persahabatan.

“Sering kali kami mengadakan rundingan betul bersama pemegang paten lain bagi pelesenan adil teknologi untuk memastikan persaingan adil dan pertumbuhan berterusan dalam industri,” kata syarikat itu dalam kenyataan e-mel.

“Bagaimanapun, meskipun dengan usaha kami untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik, ia adalah suatu yang disesali apabila perlu untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan harta intelek kami.”

Samsung tidak mengatakan di mana tuntutan mahkamah itu akan difailkan atau sama ada tuntutan itu akan berkaitan dengan peranti mudah alih.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap News berkata Samsung menyaman Huawei di Beijing kerana melanggar paten bagi telefon pintar bernilai 80.05 juta yuan (AS$12 juta).

Pada Mei, Huawei memfailkan tuntutan mahkamah ke atas Samsung di Amerika Syarikat dan China, menuduh syarikat Korea Selatan mencabul 12 paten peranti mudah alih dan rangkaian.

Huawei menuntut pampasan munasabah namun tidak menegah jualan ke atas alat telefon bimbit Samsung di AS. – AP