Samsung tumpu telefon pintar mudah lentur

SEOUL, Korea Selatan, 12 Sept – Syarikat Samsung Electronics berkata hari ini ia berhasrat untuk melancarkan telefon pintar lipat tahun depan di bawah jenama Galaxy Note.

Koh Dong-jin, presiden perniagaan telefon mudah alih di Samsung Electronics berkata syarikat itu menetapkan tumpuannya pada tahun 2018 untuk mengeluarkan telefon pintar dengan paparan mudah dilenturkan. Namun katanya terdapat beberapa halangan yang perlu diatasinya, akan membatalkannya jika masalah-masalah tersebut tidak dapat diselesaikan.

“Sebagai ketua perniagaan ini, saya boleh katakan matlamat kami pada masa ini adalah tahun depan,” ujarnya kepada wartawan. “Apabila kami boleh mengatasi beberapa masalah sudah pasti kami akan melancarkan produk tersebut.”

Dia tidak menghuraikan lebih lanjut apa masalah tersebut. Penganalisis berkata pengeluaran telefon boleh lipat dengan ciri-ciri teknologi unggul, badan tipis akan mengambil masa yang lama.

Model-model Korea Selatan menunjukkan telefon pintar Samsung Galaxy Note 8 semasa pelancaran telefon pintar terbaru Samsung Electronics di Seoul pada 12 September. Note 8 akan mula dijual bermula 15 September. – AFP

Komen berkenaan dibuat semasa sidang media Samsung untuk mengumumkan telefon pintar Galaxy Note 8 kepada media tempatan, hanya beberapa jam sebelum Apple mengumumkan model-model iPhone sempena ulang tahunnya ke-10.

Presiden telefon mudah alih Samsung berkata respons pasaran ke atas Note 8 melebihi jangkaannya walaupun harganya lebih mahal daripada model sebelumnya malah ketika reputasi jenama Note 7 dilanda isu masalah bateri meletup.

Samsung menerima lebih setengah juta tempahan awal – 650,000 unit – bagi Note 8 di Korea Selatan sebelum pelancarannya pada Jumaat, kata Koh. Note 8 menjadi telefon pintar paling mahal yang Samsung pernah keluarkan. Harganya bermula sekitar 1.1 juta won (AS$969) di Korea Selatan dan AS$930 di Amerika Syarikat. – AP