Samudra RSC bersedia hadapi cabaran terbaru

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Sebanyak enam perlawanan diteruskan bagi Liga Coneli Veteran 2017 yang disertai oleh dua pasukan negara iaitu Pasukan Samudra RSC dan Pasukan PSJD FC yang kini berada di tangga teratas liga dengan berbaki satu perlawanan pada pertengahan bulan Mac depan.

Meskipun Pasukan Samudra RSC tidak berjaya meraih tiga mata penuh dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini, namun perlawanannya bersama Wisma FC berjaya mengutip satu mata setelah terikat dengan jaringan 2-2.

Presiden Samudra RSC, Awang Kassim bin Haji Ibrahim menegaskan kehadiran pasukannya di liga itu adalah untuk memberi cabaran kepada pasukan-pasukan bola sepak dari Sarawak dan bercita-cita untuk menempatkan pasukan itu di antara 10 pasukan terbaik. Katanya, semasa penyertaan pada kali pertama, Pasukan Samudra RSC telah membuktikan para pemain pasukan itu mampu memberi kejutan kepada pasukan lain setelah kejohanan itu diteruskan bulan lalu dengan mencatatkan empat kemena- ngan, satu kalah dan dua kali seri serta berhasil mengumpul jaringan 21 mata untuk memperbaiki prestasi dan pencapaian pasukan itu dalam liga pada tahun 2016.

Menurutnya lagi, Pasukan Samudra RSC akan terus merangka perlawanan persahabatan di dalam dan luar negeri dengan menerima kunjungan Pasukan MMU FC dari Selangor, menentang Sipitang FC dan beberapa perlawanan tempatan yang bertujuan untuk memberikan persediaan serta memantapkan permainan pasukan yang bakal menyertai Liga Piala FA Miri bulan hadapan.

Para pemain Pasukan Samudra RSC sebelum perlawanan menentang Wisma FC baru-baru ini.

Beliau menjelaskan Pasukan Samudra RSC akan menyertai kejohanan dalam negeri seperti Liga Veteran DST akan datang termasuklah kejohanan yang bakal diadakan.

“Saya amat berterima kasih kepada Exco Samudra RSC yang telah menyumbangkan kerjasama padu sejak penubuhan Samudra RSC serta komitmen para pemain yang tidak pernah jemu menyokong saya untuk mengembangkan Samudra RSC di dalam dan luar negeri dan berharap kerjasama itu dapat diteruskan selaras dengan slogan pasukan itu ‘Bersatu Menempuh Badai’,” jelasnya.

Apabila ditanya mengenai perkembangan terkini pasukan itu, tahun ini Samudra RSC Jr akan menyertai Liga Daerah Brunei Muara untuk membuktikan kemampuan pasukan itu untuk terus maju dan berkembang dan berharap untuk memberi peluang kepada pemain baru untuk menjadi pelapis pasukan itu pada masa akan datang.