Samudra RSC penggerak bola sepak veteran

Samudra RSC penggerak bola sepak veteran

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Pasukan Samudra RSC merupakan salah sebuah pasukan veteran Brunei Darussalam yang terlibat aktif dalam beberapa kejohanan dan siri persahabatan di negara jiran dalam beberapa bulan kebelakangan ini bagi persiapan kepada lebih banyak penyertaan di masa akan datang.

Perkara itu antara yang ditegaskan oleh pengurus pasukan berkenaan, Kassim Haji Ibrahim yang turut menyatakan bahawa pasukan berkenaan baru-baru ini turut serta dalam Liga Conelli 2016 yang dianjurkan oleh Citysports, Miri, Sarawak, Malaysia.

Perlawanan yang diadakan pada tiga bulan lalu di Mini Stadium Miri dan padang MBM, Miri itu merupakan satu kebanggaan bagi mewakili seluruh pemain veteran tempatan.

“Kami berhadapan dengan banyak pasukan veteran gergasi dan antara yang terkuat pernah kami hadapi adalah pasukan Sarawak Legends yang dibarisi pemain seperti Ramos Sari, Ramles Sari dan Bobby pian,” ujarnya.

Pasukan Samudrra RSC yang merupakan salah sebuah penggerak pasukan bola sepak veteran di negara ini.
Pasukan Samudrra RSC yang merupakan salah sebuah penggerak pasukan bola sepak veteran di negara ini.

Apabila ditanya mengenai perlawanan terakhir sebelum ini, katanya meskipun tewas kepada Mulu FC beliau bangga dengan prestasi dan persembahan barisan pemain yang terpaksa bermain di bawah terik matahari dan ditambah pula dengan kekurangan pemain utama dalam perlawanan itu.

Menurut Kassim lagi, beliau sangat berpuas hati dengan permainan dan komitmen para pemain secara menyeluruh dalam penyertaan kali ini untuk meraih tiga tempat teratas liga berkenaan meskipun berhadapan dengan kecederaan dalam kalangan pemain.

Sementara itu, Samudra RSC akan mewakili Brunei Darussalam dalam kejohanan enam pasukan anjuran kelab peminat Liverpool FC pada 2 hingga 4 Disember 2016 nanti di Kota Kinabalu selain meneruskan cabaran Liga Conelli yang turut disertai 14 pasukan daripada Sarawak dan menyatakan komitmen untuk menyertai musim baru Liga Conelli bagi musim 2017 Januari nanti.