Samuel Eto’o sertai Antalyaspor

Samuel Eto’o sertai Antalyaspor

ISTANBUL, 25 Jun (AFP) – Bekas penyerang antarabangsa Cameroon, Samuel Eto’o bersedia untuk menyertai pasukan Antalyaspor, Turki dari Sampdoria Itali, kata kelab Turki itu semalam.

Antalyaspor selesai di tangga kelima dalam Divisyen Satu Turki 2014/2015 tetapi dipromosi ke Super Lig selepas memenangi persaingan play-off.

Antalyaspor yang jelas berusaha mencapai impian untuk beraksi dalam Super Lig, menghantar pesawat peribadi ke Itali dengan beberapa pegawai eksekutif untuk mengadakan rundingan bersama Eto’o dan kemudian membawanya ke Turki.

“Persetujuan telah dicapai bersama Samuel Eto’o,” kata Antalyaspor dalam kenyataan, yang menambah pesawat yang membawanya ke Turki itu mendarat di Istanbul malam semalam.

Maklumat kewangan belum didedahkan. Turki adalah perhentian terbaru dalam kerjaya Eto’o yang menyaksikannya membuat kemunculan bersama Barcelona, Inter Milan dan Chelsea.

Dia juga beraksi bersama pasukan Anzhi Makhachkala dari Rusia pada 2011-2013 di rantau Caucasus, Dagestan sebelum pemilik kelab itu menamatkan hasratnya. Dia bersama Sampdoria hanya awal tahun ini.

Jurulatih kelab Antalya di tempat peranginan Mediterranean Yusuf Simsek yang popular, menggambarkan perpindahan Eto’o sebagai ‘bagus dan berguna’.

“Semua maklumat dan pengalaman yang diperolehnya akan bertukar kepada rakan sepasukannya,” dia memberitahu akhbar harian Fanatik.

Simsek juga mendedahkan Antalyaspor menyasarkan bekas bintang Barcelona dan Brazil, Ronaldinho, yang berkata perbincangan bersama peguam dan abangnya akan diadakan dalam masa sehari dua lagi.

ARTIKEL YANG SAMA