SAMUR dijangka operasi Jun ini

SAMUR dijangka operasi Jun ini

SIPITANG, 8 Mac (Bernama) – Projek Sabah Ammonia dan Urea (SAMUR) yang dimulakan sejak 2012 dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pertengahan tahun ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Bhd (PCG), Datuk Sazali Hamzah.

Menurutnya, projek yang kini 90 peratus siap itu akan berupaya menambah 1.2 juta tan metrik baja urea setahun.

“Kini PCG mengeluarkan 1.4 juta tan metrik baja urea setahun. Apabila SAMUR siap sepenuhnya, ia akan menambah 1.2 juta tan metrik dan menjadikan jumlahnya 2.6 juta tan metrik setahun,” katanya.

Datuk Seri Musa Aman (dua, kanan) mendengar penerangan Datuk Sazali Hamzah (kanan) ketika melawat Projek Baja Urea Ammonia Sabah kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Musa Aman (dua, kanan) mendengar penerangan Datuk Sazali Hamzah (kanan) ketika melawat Projek Baja Urea Ammonia Sabah kelmarin. – Bernama

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang diedarkan kepada pemberita semasa lawatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman ke projek berkenaan di sini, hari ini.

Sazali berkata, penambahan pengeluaran baja urea itu akan menjadikan PCG sebagai pengeluar baja urea terbesar di negara ini. Projek SAMUR di kawasan perindustrian minyak dan gas Sipitang (SOGIP) dimulakan pada 2012.

Projek itu terletak di pesisir pantai Sipitang, kira-kira 160 kilometer dari Kota Kinabalu. Sipitang merupakan bandar di tengah-tengah laluan Lebuhraya Pan Borneo yang menyambungkan Sabah dengan Sarawak dan Brunei.