Samur mampu wujudkan peluang pekerjaan

Samur mampu wujudkan peluang pekerjaan

KOTA KINABALU, 22 Julai – Projek Sabah Ammonia Urea Plant (Samur) dilihat tidak hanya menjana pertumbuhan industri hiliran tetapi juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu berasaskan kemahiran tinggi di Sabah.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan, Chang Shui Kiong berkata projek Samur juga mampu menjadi pemangkin utama kepada pembangunan industri hiliran di Sabah berasaskan minyak dan gas.

Sehubungan itu, Chang memuji usaha kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman serta Tan, selaku Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan pembangunan projek Samur, yang terletak di pesisir pantai Sipitang.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri serta Kementerian Pembangunan Perindustrian berusaha gigih mempromosi dan membangunkan industri hiliran di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – Bernama