San Marino selar Mueller

San Marino selar Mueller

MILAN, 15 Nov – San Marino menyelar Thomas Mueller dan menuduh penyerang Jerman itu sebagai sombong serta tidak mempunyai rasa hormat selepas mengeluarkan kenyataan yang memperlekeh pasukan mereka sebagai ‘Tiada kaitan dengan bola sepak profesional.’

Jerman membelasah San Marino 8-0, Jumaat lalu yang menyaksikan skuad bimbingan Joachim Loew mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan C dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan dibezakan lima mata dengan Ireland Utara.

Sejurus kemenangan itu, Mueller berkata yang bermain dengan ‘pasukan amatur’ dalam keadaan ‘hujan lebat’ mendedahkan bintang-bintang Jerman terhadap kecederaan.

“Ini tiada kaitan dengan bola sepak profesional,” kata Mueller kepada media Jerman. “Sudah tentu, ia perkara yang besar untuk San Marino bermain dengan juara dunia. Namun perlawanan seperti ini, dengan keadaan yang licin, membuatkan kamu terdedah kepada kecederaan yang tidak sepatutnya.”

Kenyataan yang dibuat penyerang Bayern Munich itu pantas mencetus rasa berang di sebelah kem San Marino yang ketika ini menghuni tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Pengendali San Marino, Pierangelo Manzaroli berkata kepada Sport Mediaset: “Apabila negara kecil seperti San Marino bermain menentang juara dunia seperti Jerman, keputusan seperti ini boleh berlaku.

“Tetapi apa yang penting ialah kami tidak sepatutnya kehilangan rasa hormat. Setiap orang perlu mengawal diri selepas perlawanan,” katanya. – AFP