Sana’a to San José: 1984-2015, karya terbaru DPPW

Sana’a to San José: 1984-2015, karya terbaru DPPW

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Buku terbaru karya Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berjudul ‘Sana’a to San José: 1984-2015’ akan berada di pasaran mula Isnin, 8 Ogos ini.

Buku ini merupakan rekod kerja Duli Yang Teramat Mulia dalam tempoh 30 tahun mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Berdasarkan tajuknya ‘Sana’a to San José: 1984-2015,’ buku ini merupakan gambaran daripada perspektif tempatan. Keseluruhan tumpuannya adalah hubungan Brunei Darussalam dan dunia antarabangsa dengan lebih 200 buah negara merdeka.

Ia bertujuan untuk menunjukkan bagaimana negara yang begitu kecil telah memberikan sumbangan positif dan membangun kepada dunia.

Ia mengambil inspirasi daripada titah Baginda Sultan pada tahun 1984 ketika menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Buku terbaru DYTM Pengiran Perdana Wazir yang akan berada di pasaran pada 8 Ogos ini.
Buku terbaru DYTM Pengiran Perdana Wazir yang akan berada di pasaran pada 8 Ogos ini.

Ia juga mengenal pasti pendirian-pendirian kerajaan bagi rujukan antarabangsa sebagai serantau, keagamaan dan sejagat, menerusi Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan PBB.

Sepanjang tempoh 30 tahun, secara konsisten Duli Yang Teramat Mulia menekankan pendekatan Brunei Darussalam terhadap hal ehwal dunia, yang mana negara tidak pernah berubah arah.

Ketekalan itu kekal bermula daripada titah Baginda Sultan di PBB pada 1984. Malah, dalam setiap butiran, titah itu boleh diguna pakai hari ini keseluruhannya, tanpa perubahan prinsip mahu pun dasar.

Duli Yang Teramat Mulia membuat rumusan sederhana dengan bersabda, “itu, saya rasa, merupakan sumbangan yang baik daripada sebuah negara yang sangat kecil.” Bagaimanapun dunia hari ini yang kerap didefinisikan dengan pengganasan, perpecahan, ketidakpastian, rasuah, keganasan dan kebencian. Ketegasan berterusan Brunei Darussalam dengan nilai-nilai kejujuran, merangkumi sokongan dan hormat, boleh dinilai oleh banyak pihak sebagai sumbangan luar biasa.

Duli Yang Teramat Mulia menetapkan dasar ini dengan menggunakan Titah Sulung PBB Baginda Sultan pada tahun 1984 dan sentiasa merujuk kepada prinsip yang ditakrifkan.

Duli Yang Teramat Mulia dari semasa ke semasa mengulas dalam sabdanya sendiri kepada seluruh dunia dan melihat tiga perkembangan jelas dalam pendekatan Brunei Darussalam terhadap hal ehwal serantau, agama dan antarabangsa.

Duli Yang Teramat Mulia memulakannya dalam tempoh negara membentuk identitinya dan melalui tempoh ketika ekonomi dan politik dunia terus mencabar dan krisis sosial yang juga memecahbelahkan selepas Perang Dingin.

Duli Yang Teramat Mulia menyimpulkan bahawa masa hadapan bakal menyaksikan negara mampu menyumbang dan menggunakan institusi dunia sebagai rujukan perkara-perkara bernilai dalam mencari keamanan dan kestabilan demi kepentingan seluruh rakyat.

Ia merupakan kisah serius bagaimana negara kecil memberikan sumbangan positif dan konsisten kepada hal ehwal dunia dan dalam masa yang sama tidak mengetepikan nilai-nilai kepercayaan sendiri dan ia adalah sistem kerajaan yang unik. Karya itu menunjukkan bahawa Duli Yang Teramat Mulia merupakan seorang realis globalisasi yang sentiasa mewakili negara sebagai seorang yang optimis, Muslim dan insan dunia.

ARTIKEL YANG SAMA