Sanchez kembali

Sanchez kembali

LONDON, 1 Feb – Pengurus Arsenal Arsene Wenger percaya Alexis Sanchez (gambar) sudah bersedia beraksi sepenuhnya pada baki musim ini selepas membantu pasukannya menewaskan Burnley pada saingan Piala FA.

Penyerang Chile itu membuat penampilan pertamanya selepas dua bulan diketepikan akibat kecederaan hamstring sewaktu pasukan itu menang 2-1 pada aksi pusingan keempat di Stadium Emirates kelmarin.

Sanchez membantu jaringan Calum Chambers pada minit ke-19 sebelum meledak gol kemenangan dan Wenger percaya tempoh rehat diberikan memberi manfaat kepada kelab itu yang memburu gelaran Piala FA, Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara. “Dia sudah berehat panjang. Memang benar bila dia cedera, anda boleh melihat tanda keletihan. Rehat dua bulan adalah cuti musim sejuk yang hebat!” kata Wenger.

“Secara keseluruhannya, saya tidak begitu risaukan mengenai kecederaan sewaktu merehatkannya. Dua minggu lalu tahap fizikalnya cukup baik namun kami bimbang masalah ototnya.

“Dia berjaya mengharunginya dan anda boleh lihat dia sudah bersedia secara fizikal.”

Arsenal v Chelsea - Barclays Premier League

Turut menyertai Sanchez dalam barisan Arsenal adalah Francis Coquelin, yang kembali selepas rehat dua bulan akibat masalah lutut sewaktu menentang West Bromwich Albion.

Wenger mengakui beliau kurang pasti sama ada pemain tengah bertahan itu boleh diturunkan, selepas tidak menyenaraikannya ketika menentang Chelsea enam hari sebelum itu.

Namun beliau berpuas hati dengan kepulangan Coquelin dan berkata: “Saya tidak jangka dia boleh bermain. Saya sangka masih terlalu awal menurunkannya menentang Chelsea, tapi pada perlawanan ini dia nampak selesa tanpa sebarang masalah.” Wenger turut memberikan peluang penampilan sulung buat Mohamed Elneny, pemain tengah Mesir yang dibawa masuk dari Basel dengan bayaran sebanyak £5 juta (RM29.4 juta) dilaporkan bulan ini. – AFP