Sanchez pacu kemenangan Gunners

Sanchez pacu kemenangan Gunners

LEICESTER, England, 28 Sept (AFP) – Arsene Wenger memberi amaran kepada pencabar Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris bahawa Gunners kini kembali dalam misi memburu gelaran dengan Alexis Sanchez mengetuai serangan mereka.

Penyerang Gunners, Sanchez membantu kemenangan 5-2 di Leicester kelmarin, ditambah dengan kekalahan Manchester City di tangan Tottenham, membolehkan anak buah Wenger hanya tiga mata di belakang pendahulu baru Manchester United.

Sanchez meledak hatrik untuk membuka akaun jaringannya musim ini dan memberi isyarat bahawa pemain Chile itu sudah meninggalkan era permulaan hambarnya musim ini.

Malah Wenger percaya Sanchez kembali mendapat rentaknya selepas beraksi di Copa America, manakala pasukannya sudah bersedia mencabar City, United dan juara bertahan Chelsea untuk gelaran itu.

“Sanchez sudah kembali ke tahap asalnya. Dia menjuarai kejohanan hebat Copa America bersama Chile dan untuk menyesuaikan diri ke tahap kompetitif memerlukan masa,” kata Wenger.

“Anda boleh lihat dalam latihan, betapa berbezanya dia dalam tempoh seminggu dua ini. Dia menunjukkannya dalam perlawanan ini dan secara keseluruhannya saya berpendapat kami mempunyai penyerang yang berbahaya.

“Saya fikir saya mempunyai ramai pemain bertaraf dunia tapi anda perlu memahami definisinya. Secara keseluruhannya dia seorang penyerang yang sentiasa bergerak dan bekerja keras untuk pasukan. Apabila pasukan bermain dengan baik dia boleh menjaringkan gol,” tegasnya lagi.