Sanchez penuhi jangkaan

Sanchez penuhi jangkaan

LONDON, 7 Mei (Reuters) – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui, bintang penyerang Chile, Alexis Sanchez telah memenuhi semua jangkaannya, malah menjangkaui harapan yang diletakkan kepadanya pada musim pertama dalam Liga Perdana Inggeris.

Sanchez muncul pemain pertama Arsenal berjaya menjaringkan lebih 20 gol dalam musim pertama sejak kali terakhir Thierry Henry melakukannya buat Gunners pada 1999.

Lebih manis lagi, penyerang berusia 26 tahun itu berjaya menyumbangkan dua gol ketika Arsenal menewaskan Hull City 3-1, Isnin lalu, sekali gus merekodkan 26 gol dalam semua jenis pertandingan.

Sanchez yang mewarnai Liga Perdana selepas dibeli dengan harga 35 juta pound daripada Barcelona berjaya memberi impak besar kepada kelab London itu.

“Ya (dia telah melebihi semua jangkaan). Pada awalnya saya lebih mengharapkan dia memegang watak pembantu penyerang tetapi sebaliknya dia bertindak sebagai penjaring utama pasukan.

Sanchez yang dibeli dengan harga 35 juta pound daripada Barca memberi impak besar kepada Arsenal. – Reuters
Sanchez yang dibeli dengan harga 35 juta pound daripada Barca memberi impak besar kepada Arsenal. – Reuters

“Sebenarnya, saya meletakkan dia di posisi sayap untuk membantu mencipta gerakan dan ia posisi yang sukar untuk membuka peluang kepadanya menjaringkan banyak gol.

“Bagaimanapun, dia memiliki kualiti larian dan itu membolehkannya sentiasa berada dalam kedudukan baik untuk menghasilkan gol,” kata Wenger kepada Sky Sports.

Sekiranya Arsenal menewaskan Manchester City untuk muncul naib juara Liga Perdana musim ini, selain berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA, Sanchez pasti­nya watak penting yang menyumbang kepada kejayaan Gunners.

Malah, dia juga telah mencipta gerakan untuk 11 gol yang dihasilkan pasukannya musim ini, selain sering menjadi inspirasi kepada rakan-rakan sepasukan.

Arsenal kini menduduki tangga ketiga liga dengan berkongsi 70 mata bersama City, kedudukan yang sudah menjamin tiket mereka untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara buat musim ke-18 berturut-turut.

ARTIKEL YANG SAMA