Sandakan kekurangan mesin hemodialisis

Sandakan kekurangan mesin hemodialisis

SANDAKAN, 12 April (Bernama) – Dua puluh tiga mesin Hemodialisis yang disediakan di Hospital Duchess of Kent Sandakan (HDOKS) di sini tidak dapat menampung keperluan pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan itu.

Pengarah HDOKS Dr Francis Paul berkata Pusat Dialisis di hospital itu memerlukan empat unit lagi mesin hemodialisis dengan kos seunit bagi mesin baharu adalah RM40,000.

Katanya sepanjang tahun ini, statistik pesakit di Pusat Dialisis adalah sebanyak 127 pesakit yang terdaftar dan hanya 120 orang sahaja dapat menjalani rawatan dialisis yang terbahagi kepada tiga sesi seminggu sekali disebabkan operasi mesin yang terhad.

“Walaupun tahun lalu, pihak hospital telah menerima empat mesin yang baharu daripada syarikat swasta dan badan bukan kerajaan tetapi masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan khidmat harian,” katanya ketika menyampaikan taklimat sempena lawatan Unit Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri Elopura diketuai Pegawainya Chan Tzun Hei di Unit Dialisis hospital itu, hari ini.

Francis berkata berikutan itu pesakit dari Sektor Perkhidmatan Awam digalakkan untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta kerana mereka boleh mendapat tajaan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menanggung kos rawatan dan memberi peluang kepada pesakit yang kurang berkemampuan untuk mencuci buah pinggang di hospital kerajaan.

Menurutnya pesakit buah pinggang hanya membayar RM13 untuk setiap sesi mencuci darah menggunakan mesin hemodialisis di hospital kerajaan, manakala bagi klinik swasta dikenakan caj di antara RM150 hingga RM350.

Dalam pada itu, Chan berkata lawatan itu dibuat berikutan aduan yang diterima daripada pesakit mengenai kekurangan mesin hemodialisis di HDOKS.

Menurutnya pihaknya akan berusaha membantu pihak hospital bagi menangani masalah yang dihadapi terutamanya dari segi kekurangan mesin hemodialisis.