Sanggup curi kereta demi persiapan raya

Sanggup curi kereta demi persiapan raya

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160727_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Seorang lelaki tempatan yang sanggup mencuri sebuah kereta kerana terdesak untuk membeli barangan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan rakan sejenayahnya yang merupakan seorang penduduk tetap akan mengetahui nasibnya pada 27 Julai di Mahkamah Majistret.

Mohd Nazib bin Haji Ibrahim, 33 dan rakan sejenayahnya, Benjamin bin Haji Junaidi, 39, mengaku bersalah di hadapan Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli kerana mencuri sebuah kereta salon dari kawasan letak kereta Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) antara 30 Jun dan 1 Julai 2016.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan pemenjaraan untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga tiga tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Fakta kes menyebut, penyelia pengangkutan JPMC membuat laporan polis apabila menyedari sebuah daripada kereta milik JPMC hilang dari kawasan letak kereta tersebut.

Siasatan polis membawa kepada penangkapan kedua-dua tertuduh di mana polis mendedahkan, Mohd Nazib berjanji untuk memberikan motosikalnya kepada Benjamin sebaik mendapatkan kereta itu.

Benjamin yang ketika itu bekerja sebagai pemandu di JPMC telah bersubahat dalam kesalahan itu dengan mengambil kunci kereta tersebut dari peti kunci di pejabat pemandu JPMC dan membuat salinan kunci.

Dia mengembalikan semula kunci asal ke dalam peti kunci dan menyerahkan salinan kunci tersebut kepada Mohd Nazib yang sebelum ini pernah bertugas di JPMC sehingga April 2016.

Mohd Nazib memandu keluar kereta itu dari kawasan letak kereta ketika Benjamin cuba mengalih perhatian pengawal keselamatan yang bertugas.

Mohd Nazib mengaku memandu kereta yang dicuri itu ke Miri dan menyerahkan kepada rakannya di mana mereka bersetuju untuk menjual kereta itu pada harga RM$4,000.

Mohd Nazib sehingga kini belum menerima bahagian penjualan kereta, dan mendakwa kereta itu masih berada bersama rakannya di Miri.

ARTIKEL YANG SAMA