Sanggup mencuri untuk sara anak

Sanggup mencuri untuk sara anak

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160728_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Seorang penganggur yang sanggup mencuri kerana ingin menyara dua orang anaknya dijatuhi 28 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, manakala rakan sejenayahnya dijatuhi 14 bulan penjara.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli memutuskan hukuman itu ke atas Amirul Akmal bin Haji Taha, 30, dan Muhd Khairuddin bin Mohammad berusia 27 tahun.

Mereka mengaku bersalah mencuri jam tangan, rantai emas, minyak wangi, telefon bimbit dan wang tunai dari salun rambut di kawasan Serusop; Shop At Ecube, Seri Qlap Mall; Happy Star Trading; kedai Dee Jay, The Mall Gadong; Zoya Collection dan di Newgrand Technologies antara Mei dan Julai 2016.

Kedua-dua tertuduh kemudian menjual kebanyakan daripada barang yang dicuri dan membahagikan hasilnya sesama mereka.

Sementara itu, Mahkamah Perantaraan di sini telah menjatuhi empat tahun penjara dan tiga sebat ke atas seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri.

Hamzah bin Haji Mohd Noor, 49, didakwa memecah masuk sebuah rumah di Kampung Kiarong pada 16 Mei dan mencuri barang-barang kemas selain berdepan pertuduhan memecah masuk dan mencuri di dua buah unit apartmen polis di Tasek Apartments pada Mac 2016.

Manakala itu, rakan sejenayahnya, Mohamad Fakhri bin Maslan, 31, pula akan dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah untuk tiga daripada pertuduhan mencuri namun mengaku bersalah untuk tuduhan merompak, merogol, curi kenderaan, memecah masuk rumah, melakukan kerosakan dan mencuri kabel, melawan ketika ditangkap dan memiliki senjata angin tanpa lesen.

Mohamad Fakhri didakwa melakukan kesalahan itu antara Februari dan Mei 2016.

Hakim Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin menetapkan 30 Ogos untuk penetapan tarikh perbicaraan Mohamad Fakhri.

ARTIKEL YANG SAMA