Sanjungan budi buat doktor

Sanjungan budi buat doktor

Oleh Normazlina M.D

KUALA BELAIT, 9 Dis – “Kalau doktor atu nada, mungkin aku sudah mati,” begitulah kata seorang warga emas, Haji Ahmed bin Kader, 74, menceritakan detik cemasnya semasa beliau tiba-tiba sesak nafas setelah turun dari tangga rumahnya di Kampung Sungai Bakong, Lumut beberapa bulan lalu.

Pada masa itu, beliau tidak dapat lagi menahan sakit sesak nafas dan memikirkan kemungkinan tidak akan diberi kesempatan hidup jika dihantar ke Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait kerana perjalanan menuju ke sana mengambil masa yang lama.

Pada masa itu juga, ahli keluarga Haji Ahmed telah membawanya ke klinik berdekatan iaitu Klinik Sungai Liang iaitu sewaktu jam operasi bertugas sudah pun selesai.

Setelah tiba ke klinik tersebut, Haji Ahmed disahkan sakit jantung oleh kakitangan bertugas dan disarankan dibawa ke Hospital Suri Seri Begawan, dengan menggunakan ambulan.

Mujurlah pada masa itu, ada seorang doktor luar yang hendak berjoging melihat suasana gentar di Klinik Sungai Liang dan terus membantu Haji Ahmed dengan memberikannya ubat menahan sakit iaitu ubat Aspirin yang diberitahu oleh Haji Ahmed.

Haji Ahmed pada masa ini dalam keadaan sihat dan beliau masih lagi dipantau.
Haji Ahmed pada masa ini dalam keadaan sihat dan beliau masih lagi dipantau.

Tidak lama selepas menelan ubat, kesakitan yang dialami hilang begitu saja dan merasa lega, jelas Haji Ahmed sambil mengenang jasa baik doktor tersebut kerana sanggup membantu pesakit walaupun mereka sudah selesai bertugas.

“Alhamdulillah, setelah diberi ubat oleh doktor, kesemua sakit dialami hilang dan dengan izin Allah jua, jika tidak ada doktor berkenaan, mungkin aku sudah tidak ada lagi,” jelas Haji Ahmed mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada penghujung bulan Julai itu.

Selepas kejadian tersebut, Haji Ahmed telah dirawat di Hospital Suri Seri Begawan dan kemudiannya menerima rawatan lanjut di Jerudong Park Medical Centre (JPMC).

Beliau yang masih lagi dipantau kerana menghidap sakit jantung, merasa terhutang budi dan ingin mengucapkan setinggi penghargaan terutama kepada Pegawai Perubatan di Sungai Liang, Dr. Pe Than yang sanggup meluangkan masa membantunya walaupun habis waktu bertugas.

Selain itu, beliau dan ahli keluarga ingin mengucapkan setinggi penghargaan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana memberi perkhidmatan pembedahan jantungnya pada bulan Ogos lepas secara percuma kepadanya di JPMC dan kepada pegawai-pegawai perubatan termasuk doktor-doktor dan jururawat-jururawat yang merawatnya khususnya di Hospital Suri Seri Begawan, JPMC dan Klinik Sungai Liang.

Beliau seterusnya menasihati kepada orang ramai, jika mengalami sakit terutamanya sakit tenat, hendaklah segera menghubungi pusat kesihatan atau hospital bagi mendapatkan khidmat ambulan dan mereka perlu segera dibawa ke pusat kesihatan yang berhampiran.

Selain itu, bagi mereka yang pernah dirawat, perlu mengikut arahan doktor dan menjaga pemakanan mereka dan menggunakan masa mereka dengan bersenam.

Haji Ahmed juga menyarankan jika terdapat sakit sesak nafas di sebalah kiri sewaktu melakukan tugas atau bila-bila masa, jangan menunggu sakit tersebut kuat kerana dikhuatiri ia boleh menyerang anda pada bila-bila masa.

Katanya, pengalaman telah mengajarnya yang mana beliau pernah mengalami sakit sesak nafas sebelum beliau mengalami sakit kuat yang dialaminya.

ARTIKEL YANG SAMA