Santap malam bersama ketua-ketua negara ASEAN

Santap malam bersama ketua-ketua negara ASEAN

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha malam tadi berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Malam Gala bagi ketua-ketua negara dan kerajaan yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang dihoskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak selaku Pengerusi ASEAN Ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan; dan Isteri, Datin Paduka Seri Rosmah binti Mansor.

Majlis Santap Malam Gala tersebut berlangsung di Dewan Pameran, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia berdua di Park Entrance, KLCC dijunjung oleh Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri Malaysia, Datuk Kamilan Maksom dan Ketua Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan, Datuk Wan Hamidah binti Wan Ibrahim. Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kemudiannya dijunjung beredar masuk ke KLCC dan dialu-alukan oleh Yang Amat Berhormat Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib dan Datin Paduka Seri Rosmah.

Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ketika berkenan berangkat menghadiri majlis santap berkenaan. – Gambar Infofoto
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ketika berkenan berangkat menghadiri majlis santap berkenaan. – Gambar Infofoto

Semasa Majlis Santap Malam Gala tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri seterusnya berkenan menyaksikan persembahan muzikal daripada negara tuan rumah.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Keberangkatan Baginda berdua juga diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan isteri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan isteri; dan Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar dan isteri.

ARTIKEL YANG SAMA