Santap petang bersama Polis Wanita

Santap petang bersama Polis Wanita

Gambar oleh Bahyiah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Komandan Polis Wanita Pasukan Polis Diraja Brunei dan Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, kelmarin, berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang dan Ramah Mesra yang disembahkan oleh pegawai dan anggota Polis Wanita.

Keberangkatan Yang Teramat Mulia ke Dewan Bankuet, Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis, Gadong, dijunjung oleh pengerusi jawatankuasa penganjur, Pegawai Penguasa Kanan Polis Dinah binti Amat Daud berserta ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

Sejurus keberangkatan, Yang Teramat Mulia dijunjung menandatangani slip keberangkatan dan seterusnya disembahkan dengan sebuah album foto.

Seramai 270 orang anggota Polis Wanita termasuk pegawai, para jemputan khas, anggota pangkat rendah serta pegawai dan kakitangan awam menghadiri majlis tersebut yang terdiri daripada pelbagai jabatan, formasi dan daerah polis seluruh negara.

Majlis tersebut diadakan untuk memberi peluang kepada warga Polis Wanita beramah mesra bersama Yang Teramat Mulia, di samping sebagai penghargaan yang ikhlas dan tidak ternilai terhadap Yang Teramat Mulia atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan selaku Komandan Polis Wanita.

Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat ke majlis tersebut.

pg05_150914_c

Her Royal Highness Princess Hajah Masna mingling with the senior officers

Selain itu, Yang Teramat Mulia juga merupakan sumber inspirasi dan contoh kerana pencapaian selaku seorang wanita, isteri dan ibu berkerjaya yang mana Yang Teramat Mulia menunjukkan kebijaksanaan dalam mengatasi cabaran dalam pencapaian yang tinggi selaku wanita berkerjaya kepada anggota Polis Wanita.

Di samping itu, ia juga untuk mengukuhkan semangat agar menjadi lebih maju sebagai wanita berkerjaya dan mempraktikkan profesionalisme yang lebih tinggi dan mengekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan berkeluarga.

Penubuhan Polis Wanita telah mencecah usia ke-41 tahun sejak pengambilan pertama pada tahun 1974, dengan tujuan asal penubuhannya adalah untuk menyediakan khidmat bantu dan menjalankan kerja-kerja perkeranian.

Selain itu, Polis Wanita juga diberikan tugas mengendalikan masalah bersabit dengan kanak-kanak dan kaum wanita, ini termasuklah tugas-tugas mengawal, memeriksa dan mengiringi tahanan wanita atau kanak-kanak, tugas-tugas pejabat dan lain-lain.

Majlis turut dimeriahkan dengan beberapa persembahan hiburan daripada pegawai dan anggota Polis Wanita.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Yang Teramat Mulia berkenan menerima junjung ziarah para jemputan khas dan juga pegawai-pegawai serta anggota Polis Wanita.

ARTIKEL YANG SAMA