Santos: Semangat tinggi perlu dikekalkan

Santos: Semangat tinggi perlu dikekalkan

UEFA-Euro-2016-Logo

PARIS, 19 Jun (AFP) – Pengendali pasukan Portugal, Fernando Santos menuntut pemainnya mengekalkan semangat tinggi menjelang perlawanan terakhir Kumpulan F di Euro 2016 walaupun kecewa diikat tanpa jaringan oleh Austria, awal pagi tadi.

Portugal melakukan 23 percubaan ke arah pintu gol Austria, enam daripadanya tepat, tetapi terus gagal untuk meraih tiga mata selepas Cristiano Ronaldo gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-79.

Percubaan Nani juga gagal menghasilkan jaringan dengan Portugal menguasai sepenuhnya permainan pada babak pertama sekali gus menyaksikan mereka sekadar mengumpul dua mata selepas dua perlawanan.

“Kami akan mengharungi saat yang sukar sekarang, tetapi kami perlu menukar taktikal dengan segera. Kami tidak boleh berputus asa, ia tidak boleh berlaku,” kata Santos.

“Keputusan seri ini adalah tidak adil tetapi tiada guna untuk ia dibincangkan,” katanya.

“Kami tidak boleh menumpukan perhatian kepada peluang yang kami lepaskan dan berapa banyak peluang yang terlepas.

“Kami perlu membentuk sikap positif dan meletakkan semua bersama dalam permainan akan datang. Ini adalah final pertama kami di Euro.”

Selepas seri 1-1 dengan Iceland pada perlawanan pertama, Portugal wajib menang ke atas pendahulu kumpulan, Hungary Khamis ini jika mahu layak ke pusingan kalah mati.