Sanusi Junid selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Jenazah bekas Menteri Pertanian Tan Sri Sanusi Junid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, pada kira-kira 3 petang.

Terdahulu, jenazah Sanusi dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Damansara sebelum disolatkan selepas solat Jumaat.

Sanusi, 74, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Pantai Dalam di sini kira-kira 6 pagi tadi dengan meninggalkan seorang isteri Puan Seri Nila Inangda Manyam Keumala dan tujuh anak, empat perempuan dan tiga lelaki.

Allahyarham pernah menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada 1981 dan Menteri Pertanian pada 1986 sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 1996 hingga 1999.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada anggota keluarga dan sahabat terdekat berada di tanah perkuburan bagi pengebumian jenazah Allahyarham Sanusi.

Jenazah Tan Sri Sanusi Junid tiba di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kelmarin. – Bernama

Turut kelihatan di tanah perkuburan ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom dan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim.

Sementara itu, anak Allahyarham, Akhramsyah Sanusi berkata bapanya meninggal dunia sebelum sempat menunaikan solat subuh bersama isteri dan seorang lagi anaknya.

“Semalam arwah bapa ada menjalani pemeriksaan kesihatan dan semuanya tiada masalah, malah arwah sempat menghadiri pelancaran manifesto Pakatan Harapan malam tadi tanpa menunjukkan sebarang masalah kesihatan.

“Pagi tadi selepas arwah selesai mengambil wuduk dan siap berpakaian menunggu untuk bersolat berjemaah tiba-tiba arwah tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pantai Dalam hari ini. – Bernama