Sapu bersih cabaran basikal Bintulu

Sapu bersih cabaran basikal Bintulu

Oleh Dr Fahmi Ibrahim

BINTULU, 29 April – Pelumba-pelumba basikal Negara Brunei Darussalam menyapu bersih hampir kesemua kategori yang dipertandingkan dalam ‘60km Bintulu Cycling Challenge’ yang diadakan di Kuala Tatau, Bintulu, Sarawak, baru-baru ini.

Kira-kira 300 pelumba tempatan dan luar negara mengambil bahagian dalam perlumbaan yang dianjurkan oleh DNA Sports yang disokong bersama oleh majlis daerah tempatan.

Ia dianjurkan bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan cergas melalui aktiviti sukan berbasikal yang semakin popular di samping bagi menjanakan ‘sport tourism’ di Daerah Kuala Tatau yang terkenal dengan makanan laut yang segar dan enak terutamanya hidangan mi udang.

Walau bagaimanapun, ternyata 14 pelumba Brunei yang diketuai oleh Awang Yafiz Jamaliduin mempunyai agenda yang lebih serius dalam memberikan cabaran pada perlumbaan tersebut.

Sebanyak tiga kategori utama yang dipertandingkan yang menjadi tumpuan pelumba-pelumba Brunei iaitu; Lebuh raya, MTB/Fixie dan Ujian Masa Individu.

Dalam Acara Lebuh raya ketiga-tiga podium telah dimenangi oleh Pasukan Brunei iaitu, Awang Hardy Morsidi di tempat pertama, Awang Amiruddin Amir di tempat kedua dan Awang Hamizan Herman di tempat ketiga.

Awang Loqman Hadziq pula mengungguli Acara Ujian Masa Individu, diikuti Awang Redzuan Yusof di tempat kedua dan Leong Fook Hoe daripada Pasukan Blue Sky Miri di tempat ketiga.

Dalam acara Mixed Fixie and MTB pula sekali lagi diungguli oleh Pasukan Brunei apabila Awang Fahmi Ibrahim memenangi tempat pertama, diikuti Awang Imanizaydi Yunaidi di tempat kedua dan Awang Rafiuddin Zikara di tempat ketiga.

Laluan perlumbaan sejauh 60 km menuju ke Kuala Tatau dan berpatah balik di jalan sama menyediakan laluan rata dan tidak berbukit yang sememangnya menjadi kegemaran pelumba-pelumba Brunei dan tidak menghairankan kenapa keputusan perlumbaan dalam kategori utama disapu bersih oleh pelumba-pelumba Brunei.

Tetapi apa yang lebih penting ialah prestasi dan tahap kecergasan yang ditunjukkan oleh pelumba-pelumba Brunei yang sentiasa giat menjalani latihan secara konsisten semenjak bulan Januari lagi.

Walaupun menghadapi cabaran kekurangan dana dan perlumbaan di Brunei, ini tidak mematahkan semangat pelumba-pelumba Brunei mempamerkan kayuhan yang bertenaga dan mantap pada perlumbaan ini.

Apa yang lebih menarik, prestasi memberangsangkan ditunjukkan oleh pelumba Brunei dari peringkat umur Junior, Senior dan Veteran yang secara tidak langsung ia memberi petunjuk bahawa sukan berbasikal yang kompetitif di Brunei berkembang secara sihat dan mampu membentuk budaya berbasikal sebagai aktiviti sukan dan riadah untuk jangka masa panjang.

ARTIKEL YANG SAMA