SapuraKencana teroka Eropah dengan kontrak saluran paip gas

SapuraKencana teroka Eropah dengan kontrak saluran paip gas

KUALA LUMPUR, 28 Julai – SapuraKencana Petroleum Bhd mengembangkan operasi globalnya dengan meneroka ke Eropah apabila memperoleh kontrak RM510 juta bagi projek Trans Anatolian Natural Gas Pipeline (TANAP).

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata kontrak daripada TANAP Dogalgaz İletim A.S. itu diberikan kepada SapuraKencana, menerusi unitnya, SapuraKencana TL Offshore Sdn Bhd.

Kontrak tersebut adalah bagi kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCI) saluran paip luar pantai dan kabel optik gentian bagi TANAP yang terletak di luar pantai Dardanelles Strait di Laut Marmara.

“Projek tersebut dijadualkan bermula pada suku ketiga 2016 dan berakhir pada suku ketiga 2018,” kata SapuraKencana.

TANAP merupakan projek saluran paip gas asli strategik yang menghubungkan dua benua Eropah dan Asia, membekalkan gas asli daripada projek Southern Gas Corridor di Azerbaijan menerusi Georgia dan Turki dan seterusnya ke Eropah.

TANAP dimiliki 58 peratus oleh State Oil Company of Azerbaijan Republic, 30 peratus oleh Turkish BOTAS Petroleum Pipeline Corporation dan 12 peratus oleh British Petroleum Plc.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SapuraKencana Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata penerimaan kontrak itu menunjukkan bahawa transformasi dan strategi syarikat itu terus meningkatkan daya saingnya di seluruh dunia.

“Usaha pengurangan kos dan peningkatan keberkesanan operasi kami telah memacu peningkatan daya saing yang membantu kami memperoleh projek terbaharu di Mexico dan TANAP, yang kedua-duanya berjumlah hampir RM1 bilion.

Setakat ini, SapuraKencana berjaya memperoleh kontrak baharu bernilai RM3.1 bilion dalam tahun kewangan semasa. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA