Saran sambut ulang tahun Stadium NHB

Saran sambut ulang tahun Stadium NHB

STADIUM Negara Hassanal Bolkiah (SNHB) yang dibuka pa-da 23 September 1983 dirancang untuk dibina pada tahun 1972 sempena lawatan Baginda Ratu Elizabeth II, ke Brunei. Semasa lawatan itu Baginda Ratu telah merasmikan pembukaan Muzium Negara Brunei Darussalam yang terletak di Jalan Kota Batu, Bandar Seri Begawan.

Baginda telah menggunakan kapal untuk menyusur Sungai Brunei dan naik di sebuah jeti di Pintu Malim, Jalan Kota Batu sebelum menaiki kenderaan bagi menuju ke Kota Batu dan seterusnya merasmikan muzium berkenaan.

Kemudian kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan bagi menubuhkan Tabung Pembinaan Stadium berkenaan.

Saya tidak ingat bila pembinaan stadium itu bermula tapi stadium berkenaan telah siap pada tahun 1983 dan dirasmikan oleh Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada 23 September 1983 iaitu sempena tarikh hari keputeraan Baginda.

Selain daripada persembahan padang, majlis pembukaan rasmi itu dimeriahkan lagi dengan perlawanan bola sepak persahabatan antara Pasukan Sheffield United dengan Pasukan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang berkesudahan Sheffield United menang 3-1.

Gambar fail Stadium Negara Hassanal Bolkiah (NHB)
Gambar fail Stadium Negara Hassanal Bolkiah (NHB)

Pada keesokan harinya, 24 September 1983, satu lagi perlawanan bola sepak persahabatan diadakan di antara Pasukan Sheffield United dengan pasukan pilihan Brunei yang turut menurunkan pemain jemputan dari Sabah dan Sarawak antaranya ialah Hassan Sani dan James Wong (dari Sabah) dan James Yakub (dari Sarawak). Perlawanan berakhir dengan keputusan kitani tewas 2-0.

SNHB, Berakas boleh memuatkan 30 ribu orang penonton dan merupakan sebuah stadium yang bersejarah di negara ini. Di stadium ini berlangsungnya acara-acara penting negara antaranya ialah Sambutan Hari Kebangsaan pertama Negara Brunei Darussalam pada 23 Februari 1984 di mana ketua-ketua negara dan kerajaan serta orang-orang kenamaan dari dalam dan luar negeri hadir di samping rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Kejohanan Sukan Bola Sepak Piala Malaysia (bermula pada tahun 1984 hingga 2008), Kejohanan Liga Singapura (bermula pada tahun 2007/2006 disertai oleh Pasukan Brunei DPMM FC ), Sukan SEA 1999 tatkala negara menjadi tuan rumah, Sukan Merdeka 1985 dan 1990; Kejohanan Bola Sepak Piala Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang kali pertama diadakan pada tahun 2002 setiap dua tahun sekali (kitani pernah menjuarainya pada tahun pada tahun 2013); Sambutan Hari kebangsaan ke-30 tahun; Pertunjukan Tatu sempena Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta (1992) dan lain-lain acara sukan anjuran kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.

Dengan berlatar belakangkan acara-acara yang saya sebutkan itu, sudah tentu kitani tertanya-tanya kenapa tidak ada langsung diadakan sambutan Jubli Perak usia SNHB ke-25 tahun pada 1992 atau semasa usia SNHB ke-30 tahun pada 2013.

Mungkin acara yang simple sahaja dengan mengadakan perhimpunan sukan sehari secara karnival bagi semua sukan atau pemberian cenderamata seperti kole, lencana, payung dan yang seumpamanya dan tidak mahal harganya sebagai memperingati tarikh ulang tahun pembukaan rasmi SNHB iaitu 23 September 1983.

Mungkin pada tahun ini (2016) di mana SNHB akan berusia 33 tahun pada 23 September 2016 paling sesuai mengadakan ‘sedikit’ sambutan memperingati ulang tahun tersebut. Perkara menganjurkan sukan sehari itu boleh lah diserahkan kepada badan-badan sukan kebangsaan yang aktif dan kerajaan perlulah membiayai atau melalui tajaan-tajaan.

Diharap pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Belia dan Sukan akan dapat memikirkan perkara yang saya cadangkan ini. – Awang Pemerhati Sukan, Jalan Stadium, BSB

ARTIKEL YANG SAMA