Saranan AirAsia buat musim cuti sekolah

Saranan AirAsia buat musim cuti sekolah

SEPANG, Malaysia, 24 Nov – AirAsia dan AirAsia X ingin menggalakkan kesemua para tetamu yang akan terbang sepanjang musim cuti sekolah hujung tahun, melakukan daftar masuk sendiri dan tiba di lapangan terbang lebih awal bagi mengelak kesesakan kerana tambahan tetamu yang dijangka lebih ramai sepanjang tempoh ini.

Tetamu disarankan agar tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas bagi penerbangan AirAsia dan empat jam sebelum bagi penerbangan AirAsia X bagi setiap penerbangan mereka dan juga melakukan daftar masuk sendiri melalui laman web, aplikasi mudah alih atau di pondok daftar masuk bagi kemudahan perjalanan mereka.

Perkhidmatan daftar masuk sendiri menerusi laman web, aplikasi mudah alih dan kiosk tersedia bermula dari 14 hari hingga satu jam sebelum waktu berlepas bagi kesemua penerbangan AirAsia dan sehingga empat jam sebelum waktu pelepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia X.

Tetamu juga disarankan untuk mencetak pas masuk mereka sebelum tiba di lapangan terbang untuk melancarkan proses perjalanan mereka.

Bagi tetamu yang membawa bagasi untuk didaftar masuk, kaunter bagasi tutup 60 minit sebelum waktu perlepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia dan AirAsia X.

Tetamu dinasihatkan untuk melengkapkan proses daftar masuk bagasi dan terus ke pintu pelepasan seawal yang mungkin kerana kesesakan juga dijangka akan berlaku di kaunter mengimbas bagasi, pelepasan bagasi dan kaunter Imigresen.

Setiap tetamu hanya dibenarkan membawa satu bagasi kabin dengan berat yang tidak melebihi 7 kg dan mesti dalam dimensi 36cm (Tinggi) x 23cm (Lebar) x 56cm (Luas).

ARTIKEL YANG SAMA