Saranan untuk Kesatuan Dayak naik taraf hidup masyarakat

Saranan untuk Kesatuan Dayak naik taraf hidup masyarakat

SIBU, 3 Okt – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah hari ini menyarankan agar Kesatuan Dayak Nasional Sarawak (SDNU) berbincang dengan agensi-agensi kementerian mengenai bagaimana untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Dayak.

Timbalan Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata agensi berkenaan mempunyai banyak program untuk membantu masyarakat dari segi pendidikan dan kesejahteraan ekonomi.

“Program yang dilaksanakan banyak membantu masyarakat di Semenanjung.

Satu daripadanya ialah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) yang menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan untuk membolehkan masyarakat menyertai atau menjalankan projek ekonomi dalam pelbagai sektor,” katanya.

Bercakap pada Hari Keluarga SDNU Cawangan Sibu di Sibu Lake Garden di Taman Permai di sini, Nanta berkata beliau dapat membantu mengatur pertemuan antara anggota SDNU dan pegawai agensi berkaitan.

Mengenai Hari Keluarga itu, beliau yang juga Timbalan Presiden SDNU berkata lebih banyak acara sebegini perlu diadakan dan mereka tidak seharusnya terbatas kepada aktiviti rekreasi sahaja.

Beliau berkata acara seperti ini perlu menjadi platform kepada anggota SDNU untuk bertukar-tukar pandangan mengenai bagaimana untuk terus membantu komuniti Kira-kira 700 orang, terdiri daripada anak-anak dan anggota SDNU Cawangan Sibu di bawah kepimpinan Pengerusi Chambai Lindong menghadiri hari keluarga itu yang memaparkan aktiviti seperti sukaneka untuk kanak-kanak, persembahan sape dan barbeku. – Bernama