Sarang penyu laut berisiko

Sarang penyu laut berisiko

SYDNEY, 23 Julai – Paras laut yang meningkat akibat perubahan iklim menimbulkan ancaman kepada jumlah penyu laut apabila telur penyu di pantai ditenggelami dalam air masin, kata ahli sains Australia hari ini.

Telur yang ditimbus oleh penyu betina di kawasan “tinggi dan kering” di pantai mungkin ditenggelami oleh paras laut yang meningkat dan ribut, kata satu kajian oleh penyelidik daripada Universiti James Cook Australia.

Diterbitkan dalam jurnal Sains Terbuka Persatuan Diraja, laporan itu menumpu pada sarang di sarang penyu laut hijau terbesar di dunia di Raine Island di pantai timur laut Australia.

Telur yang ditenggelami selama satu hingga tiga jam tidak mengalami “tahap kematian yang besar” tetapi telur yang berada di bawah air selama enam jam melihat pertambahan 40 peratus dalam kematian embrio penyu.

“Kami cuba menjangka kesan awal. Di beberapa tempat, ia hanya memerlukan kenaikan kecil dalam paras laut, apabila digabung dengan ribut atau arus besar, untuk membanjiri apa yang sebelumnya menjadi tempat sarang yang selamat,” kata ketua penyelidik David Pike.

Pike berkata satu cara untuk melindungi telur adalah dengan menggunakan anggota sukarelawan untuk memindah sarang lebih jauh daripada pinggir laut.

“Kami mungkin berupaya menyelamat telur haiwan itu dengan tenaga manusia,” kata Pike.

“Jabatan Alam Sekitar dan Perlindungan Warisan Queensland juga telah berusaha memindah pasir di sekitar pulau untuk memberikan penyu tapak bertelur yang lebih tinggi.”

Jumlah penyu hijau di Raine Island, yang terletak di utara Terumbu Sawar besar di luar pantai Queensland, juga menghadapi ancaman daripada kehilangan habitat, bot dan pencemaran.

Sebanyak 60,000 penyu hijau betina berenang dari tempat pembiakan di negara seperti Indonesia dan Papua New Guinea ke pulau itu untuk bertelur ketika musim bertelur. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA