Saranita lancar portal sesawang

Saranita lancar portal sesawang

KUCHING, 7 Jun (Bernama) – Persatuan Usahawanan Wawasan Wanita Sarawak (Saranita) hari ini melancarkan portal sesawangnya, www.esaranita.com bagi membolehkan ahlinya memuat naik produk dan perkhidmatan yang sediakan.

Majlis pelancarannya disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Presiden Saranita Hairuni@Jamilah Shukri dalam ucapannya berkata, laman sesawang itu boleh dianggap ‘pasar raya maya’ yang dikhaskan untuk ahli.

Katanya, Saranita merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama mencipta portal pemasaran produk tempatan Sarawak ke pentas antarabangsa.

“Kami mempunyai satu wawasan, iaitu agar portal ini boleh menyerupai portal alibaba.com yang dimulakan oleh Jack Ma dari China,” katanya.

Menurut Hairuni, ahli Saranita boleh muat naik produk dan perkhidmatan masing-masing sementara pelawat eSaranita juga boleh membuat pesanan dan bayaran.

Selain itu, katanya, usahawan tempatan boleh melantik ejen di pasaran khusus untuk memasarkan produk dan perkhidmatan masing-masing, sekali gus meluaskan kesedaran terhadap produk dan perniagaan ahlinya.

Sementara itu, katanya Saranita berhasrat untuk melibatkan lebih ramai wanita di seluruh negeri dalam bidang perniagaan.

“Sarawak kaya dengan pelbagai produk dan perkhidmatan yang unik tetapi tidak dipasarkan secara menyeluruh dan sistematik,” katanya.

Katanya, barang-barang tersebut berpotensi untuk pergi lebih jauh, namun terdapat kekangan dihadapi kaum wanita kerana tidak diberi peluang dan ruang untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA