Sarawak akan bangun Pusat R&D industri hiliran

Sarawak akan bangun Pusat R&D industri hiliran

KUCHING, 21 Nov – Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Industri Hiliran Berasaskan Kayu Balak bernilai RM5 juta akan dibina di negeri ini tahun depan, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata usaha ini adalah untuk menambah nilai industri hiliran berasaskan kayu balak dalam jangka masa lima tahun akan datang.

“Pusat itu akan ditugaskan untuk menambah baik teknologi terkini bagi membangunkan inovasi yang akan membantu mengukuhkan industri itu,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2017), 2016 di Sidang Dewan Undangan di sini hari ini.

Adenan berkata Sarawak turut menyasarkan untuk mempunyai lebih banyak nilai tambah bagi aktiviti hiliran bagi sektor aktiviti bukan sumber dalam memanfaatkan industri berat sedia ada di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu dan di Matadeng, Mukah.

“Kerja-kerja awal akan dijalankan bagi membangunkan kluster Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan menyokong industri di kawasan ini,” katanya.

“Kerajaan negeri juga akan meneruskan rancangan untuk menambah baik dan meningkatkan taman perindustrian sedia ada di Rantau Panjang, Sibu dan Demak Laut di Kuching,” kata Adenan.

Beliau berkata sejumlah RM2 juta akan diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek ini tahun depan.

Adenan berkata, kerajaan akan mengoptimumkan penggunaan tanah di dalam kawasan perindustrian dengan memperkenalkan syarat baru pemberian pemilikan tanah untuk kegunaan industri supaya lebih banyak PKS dapat diwujudkan di kawasan-kawasan seperti itu. – Bernama