Sarawak akan kekal dalam Malaysia – Riot

Sarawak akan kekal dalam Malaysia – Riot

SHAH ALAM, 23 Julai – Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem tidak ragu bahawa Sarawak akan kekal selamanya dalam Malaysia.

Riot yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata perhimpunan yang diadakan di Kuching semalam bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan Sarawak daripada British pada 22 Julai 1963, hanya mencerminkan sentimen peserta dan bukannya kerajaan negeri.

“Tidak pernah terlintas dalam fikiran kami untuk berpisah dengan Malaysia,” kata Anggota Parlimen Serian itu.

Walaupun penganjur 722 Sarawak Freedom and Independence Walk mendakwa perhimpunan itu bukan untuk menggesa Sarawak keluar dari Malaysia tetapi kira-kira 8,000 pesertanya memakai baju T hitam dengan slogan “Sarawak for Sarawakians” (Sarawak untuk Orang Sarawak) dan membawa kain rentang serta bendera negeri yang lama dan yang baharu.

Beliau berkata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sudah membuat “beberapa permintaan untuk negeri” dan beliau yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi perhatian.

“Saya tahu YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sangat dekat dengan Sarawak dan sebagai seorang menteri dari Sarawak, saya gembira Sarawak sangat dekat dalam hati beliau (Najib),” kata Riot.

Pengerusi penganjur, Peter John Jaban berkata perhimpunan itu diadakan untuk menyuarakan permintaan berhubung isu pendidikan, kesihatan dan royalti minyak. – Bernama