Sarawak akan naikkan bayaran kebajikan

Sarawak akan naikkan bayaran kebajikan

KUCHING, 23 Jun (Bernama) – Kumpulan sasar seperti orang miskin, orang kurang upaya (OKU) serta beberapa kumpulan sasar lain di Sarawak dijangka akan menerima kenaikan bayaran kebajikan masing-masing bermula tahun depan.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata perkara tersebut akan diumumkan semasa pembentangan bajet negeri 2016 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November depan.

“Oleh kerana pendapatan negeri Sarawak ada bertambah sedikit, November nanti semasa pembentangan bajet negeri kami akan tambah bayaran kebajikan kepada OKU, orang miskin dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan kepada golongan sasaran anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di sini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Sabariah Hassan.

Adenan bagaimanapun tidak memperincikan berapa kenaikan bayaran yang akan diterima kumpulan sasar yang mendapat bayaran kebajikan itu.

“Berapa akan ditambah? Belum tahu lagi. Jadi tunggu bulan November nanti akan diumumkan dan pada tahun baharu (2016) nanti sumbangan yang diterima akan lebih daripada sekarang.

“Saya juga minta kerajaan Pusat di Kuala Lumpur untuk ikut langkah kerajaan negeri Sarawak ini dengan menaikkan bayaran kebajikan kepada golongan sasar,” katanya.