Sarawak alu-alukan kejohanan sukan antarabangsa

Sarawak alu-alukan kejohanan sukan antarabangsa

KUCHING, 21 Mei – Kerajaan negeri mengalu-alukan penganjuran temasya sukan bertaraf antarabangsa yang akan memberi manfaat kepada pembangunan sukan tempatan dan mengalakkan lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan berkata penganjuran sukan bertaraf antarabangsa amat mencabar kerana ia memerlukan perancangan terperinci dan pengurusannya mestilah berkualiti supaya mendapat pengiktirafan yang meluas.

“Ramai di kalangan peserta yang mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan sukan di negeri ini mahupun di seluruh Malaysia adalah disebabkan oleh daya tarikan pelancongan yang terdapat di sini,” katanya semasa merasmikan Kejohanan Golf Terbuka Amatur Malaysia ke-113 di Kelab Golf Sarawak, Petra Jaya malam tadi.

Oleh itu beliau menyarankan agar penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa turut mengambil kira aspek keunikan yang terdapat di negeri ini supaya kunjungan peserta akan memberi kesan yang mendalam dan berpanjangan.

Seramai 146 peserta dari dalam dan luar negeri berentap di kejohanan empat hari itu, yang tertua di Malaysia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA