Sarawak, Bayer Cropscience tandatangani MoU tanam padi hibrid

Sarawak, Bayer Cropscience tandatangani MoU tanam padi hibrid

KUCHING, 5 Mei (Bernama) – Kementerian Pemodenan Pertanian negeri menjalin kerjasama dengan Bayer Cropscience untuk membangunkan kawasan seluas 200 hektar di Tanjung Sarudu di Bahagian Sri Aman untuk menanam padi hibrid berproduktiviti tinggi.

Menterinya Tan Sri Afred Jabu Numpang berkata ia merupakan sebahagian daripada usaha ke arah meningkatkan pengeluaran padi dan memenuhi keperluan sara diri menggunakan amalan pertanian agronomik moden Bayer Cropscience.

Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian semasa menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) selama dua tahun antara kementerian dengan syarikat itu di sini hari ini.

Bayer Cropscience merupakan anak syarikat Bayer AG yang menumpu kepada bidang pertanian. Bayer AG merupakan syarikat perniagaan global yang berkecimpung dalam penjagaan kesihatan, pertanian dan bahan-bahan berteknologi tinggi.

Ia juga merupakan antara peneraju utama dunia sains penanaman inovatif membabitkan bijian, perlindungan tanaman dan kawalan serangga bukan pertanian.

Jabu berkata di bawah perjanjian berkenaan, Bayer akan menanam baka padinya iaitu Arize 6444 Gold dan Arize Tej Gold di kawasan seluas 50 hektar pada tahun ini sementara kawasan selebihnya pada musim 2016-2017. Katanya baka-baka padi syarikat terbabit memperlihatkan hasil yang memberangsang semasa tempoh penanaman percubaan di kawasan seluas 10 hektar.

“Kira-kira 200 keluarga di kawasan terbabit akan dlibatkan dalam projek terbaru ini dan mereka sangat teruja dan bermotivasi.