Sarawak bincang dengan kerajaan pusat kaji Dasar Kabotaj

Sarawak bincang dengan kerajaan pusat kaji Dasar Kabotaj

KUCHING, 27 April – Kerajaan Sarawak sedang berbincang dengan kerajaan pusat untuk mengkaji Dasar Kabotaj bagi menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan ramai lagi usahawan di negeri ini.

Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berharap melalui kajian itu, mana-mana produk dan bahan berasaskan makanan boleh terus dibawa ke negeri ini, dan tidak perlu lagi melalui Pelabuhan Klang sehingga menyebabkan kos berganda.

“Perdagangan kita banyak. Kita boleh import terus makanan dari Guangzhou, Beijing dan Hongkong tanpa melalui Pelabuhan Klang.

“Malah, kalau ada hubungan dengan India, kita boleh import bawang terus dari sana dan ini menguntungkan rakyat Sarawak,” katanya ketika merasmikan Sama Kampung KitchenWare Sdn Bhd di sini.

Beliau berkata ia juga akan menggalakkan lebih ramai usahawan untuk terus berurus niaga, serta melahirkan banyak golongan itu yang menceburi perniagaan berasaskan industri makanan yang baharu.

Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (kiri) melawat Sama Kampung Kitchen Ware Sdn Bhd selepas merasmikan kedai barangan dapur itu di Petra Jaya, malam kelmarin. – Bernama
Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (kiri) melawat Sama Kampung Kitchen Ware Sdn Bhd selepas merasmikan kedai barangan dapur itu di Petra Jaya, malam kelmarin. – Bernama

Di bawah Dasar Kabotaj, pengangkutan barang-barang dan penumpang dari mana-mana pelabuhan atau tempat di Malaysia ke pelabuhan atau tempat lain di negara ini, hendaklah diangkut dengan kapal berdaftar dengan Malaysia dan mempunyai lesen perkapalan dalam negeri yang sah. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA