Sarawak cadang anjur Festival Muzik K-Pop

Sarawak cadang anjur Festival Muzik K-Pop

MIRI, 30 April – Sarawak akan membuat kajian kepada penganjuran festival muzik tahunannya termasuk cadangan untuk memasukkan festival muzik K-Pop bagi menjadikannya relevan dengan citarasa generasi semasa, sasaran pasaran  dan pulangan ekonomi.

Setiausaha Tetap Pelancongan Sarawak, Datuk Ik Pahon Joyik berkata antara festival muzik yang mahu dikaji semula ialah Festival Jaz Borneo (BJF) yang kini memasuki edisi ke-10 dan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia.

“Sebagai contoh, tahun ini BJF sedang memantau kehadiran penonton kerana pada 2014, sejumlah 8,000 menghadiri festival itu dengan kumpulan umur antara 19 hingga 25 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak berkata pada BJF tahun ini, penganjurnya menyasar kumpulan umur lebih luas termasuk 25 tahun ke atas.

“Sekiranya kita tidak boleh menarik audiens lebih ramai tahun ini, mungkin kita boleh menjenama semula atau menamakan BJF dengan konsep berlainan dengan menggabungkan festival jaz dan blues.

“Kegilaan terhadap K-Pop kini semakin menular. Kita lihat sebagai antara muzik festival masa depan di Sarawak, mungkin ia boleh diadakan di sini (Bandaraya Miri) untuk menarik pasaran asing terutama daripada negara jiran Brunei,” kata Ik Pahon.

Beliau yakin festival muzik K-Pop boleh mengulangi kejayaan seperti semasa kumpulan K-Pop dari Korea, Nolza mengadakan persembahan di Bandaraya Kuching sempena Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa Asean (AIFFA) awal bulan ini. –Bernama