Sarawak cadang semak semula modul Pembangunan Tanah NCR

Sarawak cadang semak semula modul Pembangunan Tanah NCR

KUCHING, 18 Julai – Sarawak mahu merumuskan modul baharu dan lebih baik untuk membangunkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata faktor yang paling penting adalah memastikan keuntungan dari segi kewangan yang lebih baik bagi pemilik tanah.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini selepas merasmikan Seminar Ke-12 Persatuan Penanam Antarabangsa 2016, beliau berkata modul sedia ada sedang disemak.

“Kami melihat kepada pelbagai opsyen yang kami boleh terima pakai tetapi yang paling penting adalah kami mahu pemilik tanah mendapat lebih banyak manfaat daripada usaha sama dengan pelabur swasta,” katanya dan menurutnya masih terdapat banyak tanah NCR di Sarawak.

“Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, juga telah menyatakan dengan jelas baru-baru ini bahawa beliau tidak akan membenarkan lebih banyak perladangan baharu dibuka di tanah kerajaan negeri. Jadi pilihan yang ada bagi kami sekarang adalah tanah NCR,” katanya.

Sarawak mempunyai kira-kira dua juta hektar tanah NCR yang masih belum diusahakan atau kekal terbiar manakala lebih separuh daripada 1.3 juta hektar ladang sawit, sebahagian besarnya di atas tanah kerajaan negeri.

Di bawah modul pembangunan komersial tanah NCR sedia ada, pemilik tanah memiliki ekuiti 30 peratus, pelabur 60 peratus dan ejen pengurus-an (kebiasaannya Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah, Sarawak), 10 peratus.

Pemilik tanah juga dibayar dividen dan bonus tahunan berdasarkan prestasi syarikat.

Kontrak adalah selama 60 tahun dan selepas itu tanah dipulangkan kepada pemilik. – Bernama