Sarawak catat 31 kemalangan dalam kerja perusahaan kayu

Sarawak catat 31 kemalangan dalam kerja perusahaan kayu

KUCHING, 15 Ogos – Sarawak mencatat 31 kemalangan pekerjaan dalam sektor berasaskan kayu tahun lepas.

Jumlah itu merangkumi tiga kematian, tiga hilang upaya kekal dan 25 hilang upaya tidak kekal.

Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) negeri, 2014 mencatat 28 kes, yang melibatkan lima kematian, satu hilang upaya kekal dan 22 hilang upaya tidak kekal.

Menyedari pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), bersama-sama DOSH dan Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) akan menganjurkan kempen OSH selama tiga hari, bermula 24 Ogos.

Pengurus Besar Pusaka Datuk Sarudu Hoklai berkata kempen itu akan diadakan di Lawas untuk memenuhi keperluan penggiat industri berasaskan kayu di wilayah utara.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata pemegang konsesi hutan perlu mendapatkan sijil OSH bagi pekerjanya di bawah inisiatif pensijilan hutan.

“Ketiadaan pensijilan tidak boleh dianggap isu remeh berikutan sekatan dan syarat yang dikenakan di pasaran global,” katanya.

Sementara itu, Pengarah DOSH Mohd Hatta Zakaria berkata Pelan Induk OSH 2016-2020 sedang disediakan untuk mewujudkan budaya kerja selamat dan sihat di seluruh negara. – Bernama