Sarawak catat 8,440 kes HFMD ringan hingga Jun

Sarawak catat 8,440 kes HFMD ringan hingga Jun

KUCHING, 12 Julai (Bernama) – Kesemua 8,440 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), yang dilaporkan setakat 27 Jun di Sarawak tahun ini, dikategorikan sebagai ringan, dengan 368 penghidap dimasukkan ke wad dan tiada laporan kematian, kata Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Zulkifli Jantan.

Beliau berkata sebanyak 616 kluster penyakit itu dilaporkan, sebahagian besarnya melibatkan kluster keluarga, diikuti 66 kluster prasekolah/tadika, 17 kluster pusat penjagaan kanak-kanak dan enam kluster sekolah rendah.

Menurut beliau, bahagian Kuching mencatat jumlah tertinggi kes HFMD dengan 2,200 kes; diikuti Miri (1,507); Sibu (1,386) dan Samarahan (771).

“Bahagian yang menunjukkan trend peningkatan ialah Kuching, Betong, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini.

Mei lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dilaporkan berkata kes HFMD akan meningkat setiap tiga tahun dan jumlah tertinggi direkodkan pada 2012, dengan 34,519 kes dan satu kematian.

Katanya, dari Januari hingga 11 April tahun ini, 13,497 kes penyakit itu dilaporkan di seluruh negara, dengan purata 964 kes seminggu, manakala Sarawak mencatat jumlah kes HFMD tertinggi iaitu 6,333; diikuti Selangor (2,727); Johor (919); Kuala Lumpur (661); Perak (642) dan Sabah (593).

Dr Zulkifli juga menasihati orang ramai, terutama yang mempunyai anak kecil, supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran rumah, pusat jagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah serta tidak berkongsi barangan seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, sudu dan garpu untuk mencegah penularan penyakit itu. Katanya, bagi mengurangkan risiko dijangkiti penyakit itu, ibu bapa juga perlu mencuci tangan selepas ke tandas sebelum menyediakan makanan untuk keluarga.

Beliau berkata kanak-kanak yang mempunyai tanda atau gejala dijangkiti HFMD tidak patut dihantar ke pusat penjagaan, tadika atau sekolah, tetapi perlu segera dibawa ke klinik atau hospital untuk diperiksa.