Sarawak catat pelaburan langsung asing kedua tertinggi

Sarawak catat pelaburan langsung asing kedua tertinggi

KUCHING, 10 Sept – Sarawak mencatat pelaburan langsung asing kedua tertinggi di negara ini tahun lepas berjumlah RM9.64 bilion daripada 18 projek yang diluluskan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, pelaburan asing bernilai RM8.4 bilion dan selebihnya sumber domestik.

Beliau berkata, dengan kestabilan politik di samping kerajaan yang mesra perniagaan serta pentadbiran yang cekap, beliau yakin Sarawak akan menjadi tarikan utama pelabur asing.

“Rakyat Sarawak terkenal dengan kebudayaan dan toleransi kaum, perpaduan, kematangan dan keupayaan bekerja kuat ke arah kepentingan bersama.

“Persidangan hari ini adalah manifestasi mengenai profesionalisme dan kerja keras pengusaha tempatan kita,” katanya pada majlis pembukaan Persidangan Usahawan ASEAN-China yang pertama di sini, Khamis.

Menurutnya, hubungan di antara China dan Malaysia adalah kukuh dengan saling hormat menghormati sejak lebih empat dekad lalu.

“Ia adalah satu penghormatan untuk meningkatkan penglibatan dengan China dan mengukuhkan hubungan yang sudah pun sihat,” katanya.

Seramai 14 penceramah berprofil tinggi mengambil bahagian dalam sidang dua hari itu yang bertujuan meneroka peluang perniagaan, berkongsi pengalaman serta mengembangkan rangkaian. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA