Sarawak Energy sedia jadi kuasa utama serantau

Sarawak Energy sedia jadi kuasa utama serantau

KUCHING, April 29 – Sarawak Energy Bhd (SEB) berkata perjanjiannya dengan kerajaan Kalimantan Utara merupakan satu pencapaian besar dalam transformasinya daripada sebuah syarikat utiliti tradisional kepada sebuah kuasa serantau.

Projek dengan jiran Borneo itu telah meletakkan asas untuk SEB berkembang di peringkat antarabangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Torstein Dale Sjotviet.

Sarawak Energy mengeksport tenaga ke wilayah Kalimantan Barat sejak Januari tahun ini.

Syarikat milik kerajaan negeri itu juga mempunyai perancangan bersama Brunei dan Sabah untuk menjayakan lebih banyak projek penyambungan yang akan memajukan konsep Grid ASEAN.

“Peluasan kami dalam perniagaan dan penyertaan aktif dalam forum tenaga serantau dan antarabangsa kini semakin mendapat perhatian antarabangsa, dan telah membuka pintu untuk pengembangan perniagaan di rantau ini,” kata Sjotviet selepas menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan Kerajaan Kalimantan Utara pada malam Rabu.

Menerusi perjanjian itu, SEB akan meneroka peluang kerjasama dalam projek penjanaan tenaga dan merangka strategi untuk meningkatkan infrastruktur bekalan tenaga di Kalimantan Utara, selain memberi khidmat nasihat dan kepakaran teknikal kepada wilayah Indonesia itu.

“Sebagai sebuah utiliti tenaga bersepadu, SEB mempunyai peluang untuk menunjukkan kapasiti dan keupayaan dalam mengurus dan membangunkan projek tenaga di luar Sarawak.

SEB kini mempunyai kira-kira 4,300 pekerja yang terdiri daripada penduduk Sarawak, yang memberi perkhidmatan kepada tiga juta pengguna dan 600,000 pengguna domestik, komersial, industri dan pemegang akaun pukal tenaga, kata Sjotviet.

Sjotviet kata SEB bangga kerana pengguna di Sarawak menikmati tarif elektrik terendah di Malaysia dan antara yang paling rendah di ASEAN hasil daripada kuasa hidro. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA