Sarawak galak pendidikan STEM

Sarawak galak pendidikan STEM

KUCHING, 7 Okt (Bernama) – Kerajaan Sarawak sedang giat menggalakkan pendidikan sains, teknologi dan matematik (STEM) sebagai langkah melahirkan tenaga kerja yang inovatif dalam setiap lapangan, kata Menteri Muda (Promosi Pendidikan Teknikal) di Pejabat Ketua Menteri Datuk Len Talip Salleh.

Beliau berkata usaha itu bagi memenuhi keperluan 1.6 juta peluang pekerjaan yang diperlukan untuk projek pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang memerlukan kemahiran teknikal dan vokasional, dan menambah Tabung Gagasan Ekonomi Anak Sarawak (TEGAS) telah diberikan tugas bagi menyediakan tenaga kerja masa depan negeri ini.

Talip berkata Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) telah dikenal pasti sebagai pembawa perubahan dalam Rancangan Malaysia ke-11 bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran untuk industri.

Sehubungan itu Talip berkata TEGAS dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) baru-baru ini telah bersetuju menubuhkan makmal STEM di Fakulti Kejuruteraan di Unimas.

Beliau berkata makmal itu akan menjadi teras dalam mempromosikan STEM dan mewujudkan kesedaran terutamanya dalam komuniti mengenai kepentingan STEM.

“Diharapkan kekuatan fakulti boleh disinergikan dengan objektif pendidikan STEM bagi menyokong keperluan masyarakat, industri dan organisasi-organisasi kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Unimas STEM EnCon2015 di sini, hari ini.

Talip turut memberi penekanan mengenai kepentingan bahasa Inggeris dan menggesa Kementerian Pendidikan memberi penekanan kepada pengajaran bahasa itu di sekolah dan universiti.

Sementara itu naib canselor Unimas Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suadi berkata melalui kolaborasi itu diharap lebih banyak kerjasama dengan pihak industri berlaku pada masa depan demi kebaikan masyarakat.

Katanya Fakulti Kejuruteraan pada tahun ini berjaya memperoleh akreditasi lima tahun untuk program Kejuruteraan Mekanikal dan Awam dan tiga tahun akreditasi untuk program elektronik dari Majlis Akreditasi Kejuruteraan.

ARTIKEL YANG SAMA