Sarawak Hidro taja beg sekolah kepada pelajar SMK Bakun

Sarawak Hidro taja beg sekolah kepada pelajar SMK Bakun

BAKUN,BELAGA, 12 Jan (Bernama) – Sarawak Hidro Sdn Bhd (Sarawk Hidro) telah menyampaikan sumbangan berupa beg sekolah kepada lebih 300 pelajar tingkatan satu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun di dalam satu program yang diadakan pada 8 Januari 2016 bersempena dengan majlis penutup minggu orientasi sekolah.

Sumbangan beg disampaikan oleh Ir Zulkifle Osman, Pengarah Urusan Sarawak Hidro kepada Roger Peter, Pengetua SMK Bakun, yang mana program ini merupakan sebahagian Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada penduduk di sekitar Bakun.

Turut hadir adalah Pengurus Besar Sarawak Hidro (Operasi dan Senggaraan), Anuar Abu Bakar, Pengurus Besar Sarawak Hidro (Khidmat Korporat) Faisal Shahbudin, guru-guru, semua pelajar tingkatan satu, wakil dari Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan perwakilan media.

Ir Zulkifle Osman berkata, “Sarawak Hidro bukan sahaja memfokuskan kepada pencapaian syarikat dan keuntungan, tetapi juga kepada sumbangan untuk pembangunan lestari penduduk setempat, di mana projek-projek CSR merupakan sebahagian daripada aktiviti-aktiviti kami.

Lebih 300 pelajar tingkatan satu SMK Bakun dengan gembiranya menunjukkan beg sekolah yang disumbangkan oleh Sarawak Hidro pada 8 Januari. – Bernama
Lebih 300 pelajar tingkatan satu SMK Bakun dengan gembiranya menunjukkan beg sekolah yang disumbangkan oleh Sarawak Hidro pada 8 Januari. – Bernama

“Saya juga percaya dengan wujudnya program seperti ini, ia mampu mengukuhkan talian silaturahim kami dengan penduduk setempat, terutamanya generasi muda”.

Pengetua SMK Bakun, Roger Peter, juga menambah, “Pihak kami sangat menghargai usaha Sarawak Hidro dalam menganjurkan program seumpama ini.

Kami percaya sumbangan ini akan memberi keceriaan kepada para pelajar, di samping memberi galakkan kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan akademik yang lebih cemerlang”.

Dalam majlis yang sama juga, pihak Sarawak Hidro telah menyerahkan replika cek bernilai RM29,998.00 untuk tujuan pembelian meja-boleh-tindih yang akan digunakan untuk kemudahan belajar dan peperiksaan.

Kedua-dua sumbangan ini merupakan sokongan padu Sarawak Hidro terhadap pembangunan modal insan di kalangan penduduk setempat yang berterusan, lebih-lebih lagi terhadap generasi mudanya.