Sarawak kuat kuasa undang-undang alam sekitar

Sarawak kuat kuasa undang-undang alam sekitar

KUCHING, 22 Jan (Bernama) – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tidak keberatan membenarkan Sarawak menguatkuasakan sesetengah undang-undang alam sekitarnya sendiri berikutan kejayaan rundingan antara Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiga hari lepas mengenai penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata langkah itu tidak akan mengurangkan kuasa kementerian berkenaan.

“Sebenarnya, ini sangat baik untuk negara kerana lebih banyak pihak akan terlibat dengan usaha menjaga alam sekitar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan berjumlah RM108,300 untuk membiayai pelbagai projek pembangunan di kawasan parlimen Santubong yang diwakilinya di sini hari ini.

Katanya kerajaan negeri menyedari bahawa syarat yang terdapat di negeri ini adalah jauh lebih baik dalam usaha mencegah kerosakan terhadap alam sekitar.