Sarawak lulus usul lindungi negeri

Sarawak lulus usul lindungi negeri

KUCHING, 8 Dis – Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini dengan sebulat suara meluluskan usul memberi mandat kepada kerajaan negeri untuk mengambil semua langkah dan tindakan di bawah Perkara VII Perjanjian Malaysia bagi melindungi kepentingan istimewa negeri dan rakyat Sarawak.

Dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri James Jemut Masing (BN-Baleh), antara langkah yang diketengahkan ialah menyelaraskan semula dasar persekutuan mengenai pendidikan, kesihatan dan bahasa rasmi supaya selari dengan perlembagaan dalam melindungi Sarawak apabila negeri memutuskan menyertai Sabah, Singapura dan Malaya untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

Usul itu juga menyentuh mengenai penurunan fungsi dan kuasa Persekutuan kepada negeri untuk memastikan pemantauan atau penyeliaan yang efisien dan efektif dan melaksanakan kerja-kerja dan projek infrastruktur persekutuan di negeri ini.

Singapura berpisah daripada Persekutuan pada 1965. – Bernama