Sarawak mahu lebih banyak pelaburan Singapura

Sarawak mahu lebih banyak pelaburan Singapura

KUCHING, 18 Okt – Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata kerajaan negeri berhasrat melihat lebih banyak pelaburan dari Singapura di Sarawak pada masa akan datang. Beliau berkata ekonomi Sarawak telah membangun dan berkembang menjadikan ekonominya kukuh dan ketiga terbesar di Malaysia.

Menurut beliau, pembinaan Lebuh raya Pan Borneo di Sarawak dan Sabah akan menjadi perangsang dalam menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan di negeri ini kerana merentasi negeri ini terutama kawasan luar bandar.

“Saya percaya bahawa projek ini akan membantu Sarawak menjadi tempat yang kompetitif untuk menjalankan perniagaan di negara ini dan sudah pastinya kami mahu melihat lebih banyak pelaburan Singapura di Sarawak pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis makan malam sempena Sukan Perkhidmatan Awam Malaysia-Singapura ke-38 dan Program Seminar Bersama ke-7 untuk Pemimpin Sektor Awam Malaysia dan Singapura 2015 di sini, Sabtu malam.

Adenan berkata sebagai jiran yang saling bergantung antara satu dengan yang lain, usaha berterusan dilakukan bagi memastikan hubungan yang terjalin sentiasa terpelihara dan diperkukuh.

Ujarnya kehadiran para pegawai Singapura pada sukan dan seminar tahun ini yang julung kali diadakan di luar Kuala Lumpur dan Singapura merupakan pengiktirafan kepada usaha membina hubungan dua hala yang harmoni, berpanjangan dan memberi manfaat bersama.

“Kita kadang-kadang memiliki perbezaan pendapat tetapi hubungan kerjasama dua hala yang kuat antara kedua-dua negara sentiasa menjadi objektif utama tetapi saya percaya kita mempunyai banyak persamaan berbanding perbezaan,” katanya.

Adenan berkata Sarawak telah memasuki pelbagai kerjasama dengan Singapura dalam bidang perniagaan, pelaburan dan Sarawak mengalu-alukan kerjasama pada masa akan datang. – Bernama