Sarawak mahu waktu operasi di sempadan dikekalkan

Sarawak mahu waktu operasi di sempadan dikekalkan

MIRI, 3 Okt – Sarawak mahu waktu operasi di empat pintu masuk di sempadan Sarawak dan Brunei yang telah dilanjutkan dari 6 pagi hingga tengah malam setiap hari sejak dikuatkuasakan 1 September 2015, dikekalkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (gambar), berkata waktu operasi yang singkat akan memberi kesan sebaliknya kepada negeri ini terutama kepada industri pelancongan memandangkan Bandaraya Miri dirancang sebagai pintu masuk bagi pelancong asing dan tempatan yang tiba dari utara Sarawak.

“Kami mahu waktu operasi dikekalkan dan saya telah menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mewartakan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh di Miri,” katanya kepada pemberita selepas menutup program ‘Kembara Hijrah’ peringkat negeri sempena sambutan Maal Hijrah, di sini, hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri berkata sebaik sahaja Kementerian Dalam Negeri memberi kelulusan mewartakan CIQ Sungai Tujuh, kemudahan Visa Semasa Ketibaan (VOA) akan dapat disediakan untuk pelancong asing.

Berhubung kemungkinan mengadakan operasi 24 jam di sempadan Sarawak-Brunei terutama di CIQ Sungai Tujuh, Abang Johari berkata ia suatu perkara yang baik kepada kedua-dua pihak seperti CIQ di Johor Bahru, Johor.

“Jika jumlah trafik di CIQ Sungai Tujuh tinggi, ia mungkin dibuka 24 jam,” katanya.

Pada 30 Ogos lalu, Brunei Times melaporkan Kementerian Dalam Negeri Malaysia mungkin mengurangkan waktu operasi di pusat-pusat pemeriksaan termasuk di pintu masuk di sempadan Sarawak-Brunei bagi mengekang penyeludupan dadah dan senjata api.

Akhbar itu melaporkan perkara itu sedang dikaji dan dibincangkan dengan Ahmad Zahid.

Sebelum 1 September 2015, waktu operasi di keempat-empat pusat pemeriksaan Sarawak-Brunei iaitu CIQ Sungai Tujuh (Miri), Tedungan (Limbang), Pandaruan (Limbang) dan Mengkalap (Lawas) dibuka mulai 6 pagi hingga 10 malam.

CIQ Sungai Tujuh merekodkan jumlah kedatangan pelancong tertinggi dalam kalangan empat pusat pemeriksaan dengan purata tiga juta pelancong yang melalui pusat pemeriksaan itu setiap tahun. – Bernama