Sarawak perkenal aiskrim ‘Dabai’

Sarawak perkenal aiskrim ‘Dabai’

KUCHING, 7 Okt (Bernama) – Penggemar aiskrim kini berpeluang mencuba dua jenis aiskrim yang sinonim dengan keunikan negeri Sarawak.

Perisa terbaharu sajian pencuci mulut itu dihasilkan daripada buah Dabai, (kembayau) dan buah ‘Terong Asam’, yang dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan Pertanian (ARC) Semengok.

Pelancarannya dilakukan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian Sarawak, bersempena Persidangan Pegawai-pegawai Penyelidikan Pertanian 2015, di sini hari ini.

Pengarah Pertanian Negeri, Datuk Lai Kui Fong berkata buah Dabai dipilih disebabkan kandungan antioksidan yang tinggi manakala Terong Asam pula kaya dengan vitamin C.

Beliau percaya keunikan perisa itu akan memikat cita rasa pelancong tempatan dan luar negara.

Lai berkata, ARC Semengok turut membangunkan produk lain berasaskan kedua-dua hasil pertanian itu dan bekerjasama dengan syarikat pengeluar kek serta makanan tempatan untuk mengkomersialkannya.

Produk berasaskan Dabai dan Terong Asam yang kini berada di pasaran adalah kek, biskut, pes, sos mayones dan sambal.

Mengenai kedua-dua aiskrim itu, Lai berkata satu perjanjian ditandatangani bulan lepas antara ARC Semengok dan Lain Huat Ice Cream Sdn Bhd untuk membangun dan mengkomersialkannya.

Terdapat tiga jenis aiskrim Dabai iaitu berperisa asli, vanila dan pandan selain dua jenis perisa bagi aiskrim Terong Asam.

Hanya ‘Ice Lollies Terong Asam’ dan aiskrim Dabai berperisa asli yang boleh diperoleh di pasar raya Emart mulai hari ini manakala tiga jenis lagi dijangka berada di pasaran menjelang 2016.