Sarawak perlu lebih banyak pelaburan

Sarawak perlu lebih banyak pelaburan

KUCHING, 28 Nov – Sarawak perlukan lebih banyak pelaburan, khususnya Pelaburan Langsung Asing bagi merangsang pertumbuhan dan pembangunannya, Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sehingga Ogos lepas, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan 12 projek yang bernilai RM2.3 bilion untuk Sarawak.

Daripada jumlah itu, jumlah FDI adalah sebanyak RM1.6 bilion, manakala pelaburan langsung domestik berjumlah sebanyak RM760 juta, katanya semasa menggulung perbahasan untuk kementeriannya.

Awang Tengah berkata, pelaburan yang diluluskan banyak berkaitan dengan pembuatan produk elektrik dan elektronik (solar dan semikonduktor) bernilai RM1.61 bilion, produk kimia (ammonia, ammonium sulfat) bernilai RM529 juta dan produk logam asas (batang aluminium) bernilai RM137 juta.

“Kesemua projek ini dijangka menjana kira-kira 3,000 peluang pekerjaan,” katanya sambil menambah bahawa Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian Sarawak (ICC) telah menyokong pelaburan berjumlah RM4.8 bilion.

Menurutnya lagi, bagi tempoh yang sama, ICC telah meluluskan 40 projek perkilangan yang berjumlah RM104.7 juta, terutamanya dalam produk mineral bukan logam (produk simen dan konkrit), produk kimia dan bahan kimia (cecair aluminium sulfat, campuran cat) dan produk kayu serta yang berasaskan kayu.

Katanya, pelaburan-pelaburan ini dijangka mewujudkan sebanyak 800 peluang pekerjaan.

Awang Tengah berkata, pelabur global lebih berhati-hati dalam membuat keputusan pelaburan mereka disebabkan oleh keadaan yang mencabar.

“Adalah sukar untuk meyakinkan pelabur hanya pada sekali pertemuan sahaja, khususnya pelabur-pelabur asing. Oleh yang demikian, lawatan dan mesyuarat amat perlu kerana Sarawak juga bersaing dengan negeri-negeri dan jiran lain dalam berebut pelaburan,” katanya.

Selain pelaburan, perdagangan merupakan komponen terpenting ekonomi Sarawak.

Beliau berkata pada tahun 2015, rakan-rakan dagangan utama Sarawak ialah Jepun iaitu sebanyak 28.1 peratus daripada jumlah perdagangan, Semenanjung Malaysia (26.1 peratus), China (9.7 peratus), Korea Selatan (7.9 peratus) dan Taiwan (4.8 peratus).

Beliau berkata Sarawak mencatatkan sebanyak RM84.0 bilion jumlah perdagangan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, manakala angka perdagangan dalam tahun 2015 adalah RM123.2 bilion.

Katanya, dalam industri minyak dan gas (O&G), Sarawak merancang untuk mengasaskan industri hiliran O&G yang kukuh untuk bergerak ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi, sekali gus, mewujudkan sebuah pembangunan yang mampan walaupun dalam keadaan sumber itu menurun.

Negeri tersebut akan mengambil kesempatan daripada kewujudan sumber gasnya sebagai bahan mentah dan infrastruktur sedia ada yang didirikan di Bintulu dalam usaha untuk menjadi hab O&G yang berkembang maju di rantau ini. – Bernama